Khamis, 31 Julai 2014

Faktor yang membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan di Malaysia .

Topik 12.
Faktor :
Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini demikian kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada  tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan secukupnya. Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk bangsa mereka. Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di negara ini dengan terbentuknya Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat. Dalam masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba diselesaikan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.

Rentetan peristiwa tersebut juga  telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum. MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum


Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union  oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan UMNO , MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang merapatkan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948 hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk bagi  menjamin keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat bekerjasama antara satu sama lain.


Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaansebagai landasan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan